Antara yang penting mengenai AKPK ialah mereka menyediakan perkhidmatan PERCUMA. Percuma di sini maksudnya tiada caj perkhidmatan yang dikenakan. 100% PERCUMA.
AKPK membantu dari segi mengurangkan pembayaran bulanan anda kepada pihak bank.
Contohnya jika anda ada pinjaman peribadi dengan bank di mana pembayaran bulanan ialah RM300 sebulan, melalui AKPK anda mungkin membayar sebanyak RM100 sahaja. Contoh sahaja, bukan ada pengiraan di situ.
Jika tidak melalui AKPK, jika anda bayar kurang contohnya RM100 sebulan, ataupun tidak bayar langsung, sudah tentunya pihak bank akan menyaman anda dan mengenakan penalti. Jika anda menggunakan perkhidmatan AKPK, pihak bank tidak boleh mengenakan apa-apa tindakan undang-undang.
Mudahnya, AKPK adalah perantara di antara anda dan pihak bank. Anda bayar kepada AKPK dan AKPK akan membayar kepada bank.
Saya menyertai AKPK pada pertengahan tahun 2014. Ada banyak perkara mengenai AKPK yang tidak ditulis secara rasmi, dan banyak tips sampingan yang boleh memudahkan.
Walaupun terdapat banyak langkah disenaraikan di sini, jika anda sudah mempunyai dokumen lengkap, anda boleh terus sahaja berjumpa dengan kaunselor dan memohon. Saya selesai di dalam satu hari sahaja.
- Kumpulkan semua penyata kad kredit, pinjaman persendirian yang terkini.
- Jika bekerja sendiri, pergi ke Medan MARA untuk jumpa dengan pesuruhjaya sumpah. Minta borang isytihar pendapatan bulanan, dan bayar RM5.
- Jika makan gaji, bawa slip gaji terkini
- Laporan kredit terkini dari Bank Negara ataupun nama yang biasa digunakan, CCRIS boleh didapati di Bank Negara sendiri, tetapi lebih mudah jika dicetak di pejabat AKPK. Jangan lupa bawa kad pengenalan.
- Periksa jadual taklimat. Walaupun namanya taklimat, sebenarnya peserta diminta duduk di dalam sebuah bilik dan diberikan borang untuk diisi. Mudah sahaja. Yang penting, jangan lambat.
- Itu sahaja, isi borang dan tunjukkan kepada kaunter hadapan untuk dapatkan nombor berjumpa kaunselor.
Setelah berjumpa kaunselor, beliau boleh memaklumkan sama ada anda layak. Jika layak, boleh terus mengisi borang permohonan online berdasarkan apa yang dibincangkan dengan kaunselor. Komputer untuk digunakan ada disediakan di pejabat AKPK.
No comments:
Post a Comment